Latar Belakang Pantun:
Pantun merupakan puisi Melayu Traditional yang terpenting. kelebihannya telah menarik minat pengkaji dari negara asing untuk datang mengkaji. Di antara pengkaji asing yang terpenting ialah Pijnappel, Van Ophusyen, R.J. Wilkilson, R.O. winsredt, H.c. Klinkert, Gaicomo Prampolini dan sebagainya. Sarjana tempatan yang mengkaji pantun pula ialah Za'ba, Husein Jayadiningrat, Harun Mat Piah. Mohd Rosli Saludin dan profesor-profesor universiti di Malaysia dahulu dan kini.
Pantun merupakan puisi Melayu Traditional yang paling popular jika didasarkan daripada penggunaannya yang paling meluas. Bukan itu sahaja, pantun ini merupakan puisi Melayu Traditional yang tidak diragukan sifat keasliannya. Tidak kedapatan bentuk sedemikian di dalam puisi-puisi bangsa secara asli, melainkan dari bangsa Melayu di kawasan Nusantara.
Definisi Pantun:
Mengikut Brandsetter dan R.O Winstedt (1955), iaitu antara dua orang pengkaji yang banyak mengkaji secara komparatif antara bahasa-bahasa Polynesia-Austronesia, kata akar 'pantun' berasal daripada pelbagai kata akar daripada pelbagai bahasa. Dalam perkataan 'Pantun sunda' itu akarnya ialah 'tun' yang terdapat juga dalam bahasa Pampanga 'tuntun' yang bermakna teratur.
Dalam bahasa Tagalog, 'tonton' bermaksud mengucapkan sesuatu dengan susunan yang tertentu, dalam bahasa Jawa Kuno pula tuntun bermakna benang, atuntun, teratur, dan matuntun bererti memimpin. dalam bahasa Bisaya, pantun bermakna mendidik. Bahasa Toba mengatakan pantun adalah kesopanan atau kehormatan.
Dalam hubungan ini, kata akar tun sebagaimana yang terdapat dalam bahasa-bahasa di Nusantara adalah merujuk kepada sesuatu yang teratur, yang lurus, yang bersistematik dan yang tersusun, baik secara konkrit atau abstrak. Kalau maksud dari inti kata akar yang sedemikian, ternyata kepada kita bahawa perkataan atau istilah 'pantun' yang kita guna sekarang adalah satu bentuk atau cara yang cukup tersusun, teratur, bersistematik dalam usahanya melahirkan sesuatu maksud, pemikiran, idea dan gagasan.
Menurut Harun Mat Piah (1989), telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek iaitu pertamanya berkaitan dengan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pentun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu. Kedua-duanya berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.
Dipetik daripada buku "Pemilihan Kata Dalam Pantun Melayu" - Amat Juhari Moain
Mengikut Pendeta Za'ba (1965) pantun ialah nama karangan berangkap yang terbahagi dua, bahagian pertamanya menbayangkan maksud dengan isyarat bunyinya dengan bahagian yang pertama tadi. Seterusnya Za'ba mengatakan bahawa bahagian yang pertama pembayang maksud, iaitu boleh diumpamakan sebagai kulit pantun itu. Tujuannya hanyalah seolah-olah menyediakan orang untuk mendengar isi yang sebenar, itulah sebenarnya-benarnya isi pantun itu yang hendak dikatakan oleh yang berpantun.
A.H Edrus (1960) pula mengatakan bahawa pantun ialah karangan berangkap yang betul-betul hak atau kepunyaan orang-orang Melayu. Ia membawa semangat Melayu dan berkaedah dengan kaedah Melayu jati bagi mengubah alun sesuatu perasaan "syair" yang sebenar menggambarkan fikiran-fikiran hiba, sayu, sedih, suka, gemar, sindir. giat, dan berjenis-jenis yang indah seperti berkasih sayang dan berpujuk lembut.
Dalam tulisan-tulisan lain yang terbit pada masa-masa yang kemudian khususnya dalam masa yang mutakhir ini diberikan takrif-takrif pantun dengan gaya bahasa yang baru. Antara yang tertera dalam dalam Kamus Dewan (1994) yang memberikan takrif pantun sebagai sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang selainya mengandungi maksudnya).
Kamus Besar Bahasa Indonesia (2002) pula mendefinisikan pantun sebagai bentuk puisi Indonesia (Melayu), tiap-tipa bait (kuplet) biasanya terdiri atas empat baris yang bersajak (a-b-a-b) tiap larik biasanya terdiri empat kata, baris pertama dan kedua biasanya untuk tumpuan (sampiran) saja dan baris ketiga dan keempat merupakan isi.
Bentuk dan Jenis-jenis Pantun
Pantun terdiri daripada beberapa jenis, iaitu:
- Pantun Dua Baris atau Bait,
- Pantun Empat Baris,
- Pantun Enam Baris,
- Pantun Lapan Baris,
- Pantun Sepuluh Baris,
- Pantun Dua Belas Baris,
- Pantun Empat Belas Baris,
- Pantun Seloka,
- Pantun Berkait,
- Pantun yang Berbalas atau Berbalas Pantun,
- Pantun Rejang